Bab II
Rabu 10hb Mei 2006
Segala nota dan buku pelajaran sewaktu di universiti bersepah diruang tamu. Mata Intan tajam meneliti setiap helaian. Dia cuba mengingatkan kembali segala ilmu yang dipelajarinya untuk memperlengkapkan dirinya sebelum melangkah ke alam pekerjaan nanti. Setiap helaian nota dibeleknya. Buku-buku nota berhabuk tidak terusik sejak beberapa tahun lepas disusun rapi disebelahnya.
"Masih ada 5 hari lagi.." Intan cuba membilang hari. Kekadang dia menggaru kepala tidak faham apa yang telah dia baca. Sambil menghirup teh O ais yang sememangnya menjadi minuman kegemarannya di waktu pagi. Kesejukan teh O ais membasahi tekaknya. Matanya kembali segar semula, bersemangat kembali membaca nota-notanya walaupun dibaca berulangkali, dia masih tidak faham-faham dan mengaru - garu kepala yang tidak terasa gatal.
"Java, mysql, access semua aku belajar tapi satu apa pun aku tidak ingat" Intan menyesal. Dia telah lupa apa yang telah dia belajar selama ini. Sia-sia selama 5 tahun dia menuntut. Dia berasa dia telah kerugian yang amat besar kerana tidak menumpukan perhatian di dalam kelas. Semasa dalam peperiksaan pula, dia meniru, membawa nota kecil. Dilipat kemas sebesar tapak tangan. Disimpan elok-elok didalam poket seluar jeannya. Kekadang meletak nota di tandas, jadi semasa menjawab soalan peperiksaan, buat-buat mahu ke tandas.
Walaupun pernah pada satu masa dia cuba mengulangkaji pelajaran. Kekadang sampai tertidur di atas meja. Sampai lewat malam. Tetapi lebih banyak masa tidur yang diluangkan daripada mengulangkaji.
Sewaktu temuduga, Intan pantas menjawab dia mahir membuat program menggunakan bahasa java. Bahkan dia sanggup berjaga malam untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Dan tidak mengira berapa gaji banyak yang akan diberikan. Kerana dia sedar, dia masih mentah dan tiada pengalaman. Disebabkan itulah Intan ditawarkan berkerja kerana memberi keyakinan kepada majikannya..
Dan disebabkan mulut yang tidak berinsuran itulah menyebabkan Intan terpaksa membuka semula nota-notanya bagi memastikan dia betul-betul memahami bahasa java dan tidak mahu menghampakan majikan kerana telah memberi kepercayaan kepadanya.
"Aduh menyesal aku beritahu aku pandai java.." Intan mengeluh panjang sambil mata memfokus nota yang disalinnya. "Array.. " Intan mengerut dahi kerana tidak faham apa yang dia salin.
"I just called to say I love you
I just called to say how much I care"
Telefon bimbit Nokia yang uzur berdering memecahkan kesunyian di waktu pagi, bergetar dilantai meronta-ronta. Intan berpaling ke arah telefonnya, dia sangat kenal nada dering itu. Dia tahu siapa yang menghubunginya.
"Argh apa dia nak lagi ni.." Getus Intan. Mengetap bibirnya. Intan membiarkan telefon itu berdering. Dia tidak mahu mengangkat panggilan itu. Semangat untuk mengulangkaji telah hilang, gara- gara panggilan telefon itu.
Intan sangat kenal sifat Hadi yang tidak akan berputus asa untuk memujuk hatinya. Sejak peristiwa Intan terserempak Hadi membonceng motor bersama perempuan lain, dia terus tidak menjawab panggilan telefon dari Hadi. Setiap SMS yang dihantar oleh Hadi, segera dibuangnya. Tidak perlu ada penjelasan. Intan keras kepala. Dia tidak suka dan cuba mengelak dari mendengar penjelasan dari Hadi.
Hari ini sahaja sudah empat kali Hadi cuba menelefonnya. Intan sedar cara dia melayan Hadi sangat kejam. Sepatutnya dia perlu mendengar dahulu penjelasan daripada Hadi. Tapi kali ini dia sudah serik. Kerana pernah beberapa kali dia mendengar dari mulut kawan-kawannya yang mengatakan Hadi ini seorang kaki perempuan. Tetapi Intan tidak percaya. Kerana dia berpegang pada prinsipnya iaitu selagi dia tidak melihat dengan kepala matanya sendiri, dia tidak akan percaya. Tetapi kali ini, apa yang dilihatnya, dari matanya sendiri. Dia akur. Hadi tidak jujur terhadap dirinya.
Intan mencapai telefonnya. Dia menggenggam kemas-kemas telefonnya, diamatinya nama Hadi terpapar pada skrin telefonnya. Lalu dimatikan telefon bimbitnya dan dicampak ke atas sofa.
"Ganggu la kau nih" Marah Intan terhadap Hadi tidak pernah luntur. Panggilan Hadi itu telah membantut semangatnya untuk mengulangkaji. Bukan senang untuk Intan mendapat semangat untuk mengulangkaji. Tetapi kali ini boleh atau tidak boleh, Intan terpaksa bersungguh-sungguh untuk mengulangkaji dan memahami bahasa Java, kerana bahasa itu akan digunakan nanti di tempat kerjanya. Dia tidak mahu menghampakan majikannya.
Kini Intan lebih menumpukan perhatiannya kepada bakal pekerjaannya daripada melayan kerenah Hadi yang tidak menghormati dirinya. Sanggup menipu.
*******
Sabtu 13hb Mei 2006
Sudah 3 hari Intan mematikan telefonnya. Dia terasa amat selesa jika Hadi tidak dapat menelefonnya. Tidak perlu sakit hati. Perasaan bencinya terhadap Hadi kian menebal dihatinya. Biasanya jika dulu dia bergaduh dengan Hadi, dia akan mendiamkan diri didalam bilik. Memasam muka di depan kawan-kawan. Disebabkan bergaduh dengan teman lelaki, kawan-kawannya turut serta menjadi mangsa amarahnya. Natasha sudah serik dengan perangai dan kerenah budak Intan ini. Sudah lali. Mungkin disebabkan itu, mereka menjadi kawan karib.
Tetapi kini Intan telah berubah. Dia tidak seperti dahulu. Hatinya cekal, tabah, tidak lagi mudah hatinya dilukai lagi. Perasaan sayang terhadap Hadi beransur-ansur lenyap, pupus.
"Hey Intan, kau off handphone ke. ini mesti Hadi kacau kau lagi yea" Suara Natasha yang kuat boleh didengari setiap pelusuk rumahnya.
"A'ah" Jawab Intan pendek sambil mata tidak beralih dari membaca nota.
"Apa la nak jadi hubungan korang berdua ni " Natasha mula mengomel. Dia sudah arif dengan perangai Intan dan Hadi yang selalu bergaduh. Tetapi kali ini Natasha nampak kesungguhan Intan untuk melupakan Hadi kian ketara.
Hubungan yang tidak dapat diselamatkan lagi. Untuk kali ini Natasha sudah tidak berani lagi menasihati Intan. Kerana Natasha sedar keputusan yang Intan pilih itu adalah muktamad. Dan Intan pula bersungguh-sungguh memastikan dia dapat memiliki kerjaya sendiri dan tidak mahu melepaskan peluang yang terpampang luas di depannya. Dia tidak mahu menyusahkan keluarga lagi. Dia tidak mahu meminta duit dari ibunya lagi. Bahkan dia mahu berkerja dan mendapat gaji hasil titik peluhnya sendiri. Dan dia ingin meringankan beban ibunya dengan menghulur sedikit wang hasil kerjanya sendiri. Sejak 25 tahun Puan Zabedah menanggungnya. Tetapi Intan masih belum pernah membalas jasanya ibunya. Walaupun setiap ibu tidak mengharapkan apa-apa dari anak. Tetapi sebagai anak, Intan sangat teringin memberi sesuatu kepada ibunya walaupun jika Intan hanya mampu berkerja selama 1 tahun, 2 tahun atau sebulan sahaja. Kasih sayang Intan terhadap ibu memang tidak berbelah bagi lagi. Tidak pernah Intan membeli baju kurung kepada ibunya, tetapi jika sudah bekerja, Intan tidak sabar-sabar teringin membeli baju kurung kepada ibu untuk dipakai pada hari raya nanti. Lebih-lebih lagi membeli baju kurung warna sedondong dengannya.
Intan mengelamun panjang. Berangan tidak sabar mendapat gaji. Bermacam-macam bermain di fikirannya. Hendak beli hadiah untuk ibunya. Hendak beli itu, beli ini. Kerja belum mula tetapi sudah berfikir pasal dapat gaji.
*********
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment